Memaparkan catatan dengan label Buku 'Aku. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Buku 'Aku. Papar semua catatan

Jumaat, 2 Oktober 2015

Hikmah dari sebuah aduan.



Hikmah dari sebuah aduan.
.
.
Pelanggan yang membatalkan pesanan di saat akhir adalah suatu yang memang mendukacitakan.
Sepanjang saya menjalankan bisnes menjual dadih. Saya pernah dikecewakan sebanyak 3 kali.
Bukan sedikit pesanan yang dibuat. Melebihi 300 bekas. Bukan sedikit modal terpaksa dikeluarkan.
Memang kecewa yang teramat sangat. Modal pun tak pulang. Rugi sudah pasti !
Satu ketika. Seorang pelanggan membuat pesanan dadih sebanyak 300 cawan.
Sehari sebelum menghantar dadih. Saya hubungi pelanggan itu namun tidak dijawab. Sms pun tidak dibalas.
Saya sudah merasa tidak senang hati kerana bayaran belum dibuat.
Hinggalah hari dimana saya perlu menghantar dadih itu. Masih tiada jawapan daripada pelanggan.
Saya sudah tidak keruan. Tidak tahu apa yang hendak dibuat.
Sesudah melaksanakan solat sunat Dhuha. Saya mengadu kepada Allah, nasib yang menimpa.
Usai solat. Saya nekad untuk sedekah sahaja dadih itu kepada sebuah madrasah tahfiz yang terletak tidak jauh dari rumah.
Saya isikan kesemua dadih ke dalam Kancil kesayangan saya.
Terus menuju ke madrasah. Dari jauh kelihatan beberapa khemah didirikan.
Sebaik tiba. Mudir yang sedang bersembang dengan ibu bapa pelajar terus menerpa saya.
"Ya Allah, saudara. Saya tengah susah hati fikir nak dapatkan juadah untuk program petang ini. Katering saat akhir maklumkan tak dapat buat. Saudara ada dadih tak untuk ganti kuih-muih?"
Saya ternganga.
Namun saya jelaskan yang saya telah berniat untuk sedekah saja dadih yang ada.
"Tak apa, niat saudara insyaAllah Allah terima, tapi saya juga telah berniat, kalau ada siapa yang boleh tolong sediakan juadah petang ini, saya niat untuk bagi hadiah, nak bagi sedekah." Ustaz menjelaskan hajatnya.
Dadih diserahkan. Dan saya mendapat bayaran yang lebih dari sepatutnya.
Selesai.
Petang itu, kami telah merancang untuk pergi kenduri sahabat. Setelah semuanya bersiap, kami terus bertolak.
Di pertengahan jalan. Barulah kami sedar, 2 orang anak kami yang masih kecil, hanya memakai selipar jepun.
Isteri saya naik berang. Saya tidak bercakap apa-apa. Hanya memberi tumpuan kepada pemanduan.
Sebaik tiba di rumah pengantin. Kami semua serba-salah. Kawasan jalan hendak ke rumah pengantin digenangi air. Berlopak. Walapun pihak tuan rumah telah meletakkan kayu dan batu. Namun, air tetap melimpah.
Beberapa orang tetamu yang baru hadir dan ada yang menghala untuk pulang, semuanya terpaksa membuka kasut masing-masing, bimbang tenggelam dalam air lopak dan berselut.
Dua orang anak saya terus berjalan dengan selipar jepun yang dipakai.
Sebaik menikmati juadah. Kami terus memohon diri untuk pulang. Sahabat saya meminta saya untuk tunggu sebentar.
Rupanya dia telah membungkus makanan dan lauk-pauk kenduri.
Memang banyak.
Rupanya, disebabkan hujan lebat dan banyak tempat ada majlis kenduri, maka majlis kenduri sahabat saya kurang tetamu yang hadir.
Maka, banyak lagi makanan yang berbaki.
Saya pulang dengan seribu kesyukuran. Dan segala hikmah yang diperolehi.
Kita merancang tetapi Allah merancang yang terbaik untuk hamba NYA.
Baca lebih banyak kisah-kisah seperti ini dalam BUKU AKU, DIA & RZEKI

Tempahan buku: http://gedung-ilmu-anda.blogspot.com/p/borang-tempahan.html

Rabu, 19 Ogos 2015

Buku: 'Aku, Dia & Rezeki'



Sedikit ujian itulah hikmah.
.
.
Sambil bersandar dan berlunjur di dinding masjid, berhadapan dengan pintu masuk pejabat zakat. Kelihatan seorang pemuda keluar dengan senyuman.
Dia bersalaman dengan Pengawal Keselamatan yang bertugas di pintu masuk.

"Dah dapat duit, masukkan sedikit ke dalam tabung derma, insyaAllah, rezeki saudara akan bertambah." begitulah pesanan Pengawal Keselamatan itu.

Namun, pemuda itu terus sahaja keluar dan mencari seliparnya. Pencariannya gagal. Seliparnya langsung tidak ditemui. Saya pun rasa pelik. Bukannya ramai sangat manusia di pejabat zakat itu.

Pemuda itu termenung seketika, sambil bercekak pinggang. Mungkin dia mengubah pendiriannya. Pemuda itu masuk semula ke dalam masjid. Kelihatan dia membuka sampul. Sekali lagi pemuda itu termenung.

Kemudian barulah dia memasukkan wang derma. Pemuda itu terus pergi ke ruang wuduk. Seketika kemudian, saya nampak pemuda itu sedang bersolat.
Usai bersolat. Dia bergegas keluar. Dan mencari seliparnya. Dia memandang saya dan Pengawal Keselamatan sambil ketawa. Rupanya seliparnya tidak hilang.

Dia bergegas ke arah parkir motor. Sebaik dia mahu menghidupkan enjin.

Kami tergamam kerana seorang lelaki berpakaian lengkap baju Melayu menjerit ke arah pemuda itu.

"Hello, helllo ... saudara!"Pemuda itu tergamam.
"Ini motor kamu?" tanya lelaki berbaju Melayu itu.
"Ya, kenapa tuan?" pemuda itu pula terpinga-pinga.
"Kamu jual susu kambing?" sambil lelaki itu memandang kotak jualan di atas motor pemuda itu.Saya tidak mendengar perbualan mereka kerana melihat nombor giliran, takut terlepas.

Tidak lama kemudian. Pemuda itu masuk semula ke dalam ruang solat.
Pemuda itu kelihatan sujud.

Saya dan Pengawal Keselamatan berpandangan sesama sendiri. Kehairanan.
Sewaktu pemuda itu keluar dari ruangsolat. Pengawal Keselamatan itu memanggilnya. Sekadar hendak mengetahui apa yang berlaku, sehingga pemuda itu sujud.

Rupanya. Sewaktu hendak keluar di awalnya. Dia langsung tidak dapat mencari seliparnya yang disangka hilang. Hikmahnya. Allah memberikan ruang untuknya supaya bersolat sunat terlebih dahulu. Usai bersolat. Tiba-tiba sahaja seliparnya ada ditempatnya.

Sewaktu hendak bersedekah. Waktu dia membuka sampul duit. Yang ada hanyalah wang ringgit dan semuanya RM50. Tiada pilihan. Dia nekad.

"Ya Allah, aku tidak pernah menderma sebanyak ini, namun aku percaya kepada rezeki dari MU." Kemudian dia melakukan solat sunat Dhuha.
Waktu hendak pulang. Rupanya, lelaki berbaju Melayu itu telah lama mencari susu kambing asli. Susu itu mahu di serahkan kepada sebuahasrama anak-anak yatim. Dan lelaki itu telah membuat tempahan awal.

"Dia bayar dengan upah sekaligus ... "
"Berapa banyak yang diaorder?" saya mencelah dengan penuh minat.
"RM3,000 bang ... ." Pemuda itu menjawab dengan mata berkaca.
.
.
Baca lebih banyak kisah-kisah seperti ini dalam BUKU AKU, DIA & RZEKI

Tempahan buku: http://gedung-ilmu-anda.blogspot.com/p/borang-tempahan.html